Tuesday, March 08, 2011

Sekeping Hati

coretan niesa at 5:55 AM

Seketul daging. Terisi di dalam nya dengan seribu perasaan yang kadang-kadang sukar untuk diertikan. Manusia..Ramai yang lemah kerananya. Memilikinya tanpa sedar akan pengaruhnya. Kenapa ramai yang suka menjadi hambanya? Menurut segala kemahuannya tanpa bertanya pada akal yang lebih sempurna.


Hati. Segalanya bermula di situ. Hati yang penuh dengan kasih dan sayang, hati yang penuh dengan rasa benci dan dendam, hati yang sentiasa cintakan kedamaian, hati yang sentiasa inginkan kepuasan. Cantik dan buruknya perilaku seseorang bergantung pada ketulusan hatinya. Betapa sukar untuk menjaga sekeping hati. . Pernah kita menjaga hati dengan sebaiknya? Atau kita sering mencacatkan hati dengan kerakusan hawa nafsu semata? Manusia mampu mencipta nama se gah mungkin. Mampu melakar rangkaian teknologi yang canggih. Mampu merungkai rahsia alam yang sukar untuk ditembusi. Namun mengapa manusia ini khilaf dalam menjaga sekeping hati nan suci?

Hati seringkali dipenuhi dengan hasad dan dengki, benci dan dendam yang tak terperi sehingga mampu mempengaruhi tangan dan kaki bergerak, berfungsi tanpa mengikut rentak akal yang diberi. Mengapa sanggup membiarkan hati yang penuh dengan amarah ini menyentuh sekeping hati yang penuh dengan ketulusan kasih sayang yang suci? Puaskah hatimu mencerobohi kamar hati dengan kerakusan hawa nafsu sendiri?Puaskah?


Kerana hati ramai yang tersungkur, rebah menjadi hamba duniawi. Bila diri di puji-puji, hati kembang tak terperi. Mencipta keangkuhan dalam hati dan merasakan akulah yang terhebat di muka bumi ini. Melayarkan sayap kesombongan sehingga terlupa untuk berpijak di bumi. Lupa pada erti kesyukuran atas nikmat yang  telah Allah pinjamkan. Hanya kerana rentetan hati yang teruji dengan pujian yang menggunung tinggi. Bila ditegur akan kesilapan diri, dengan angkuh dan sombongnya menolak kritikan sehingga menampakkan kekejian di hati. Tertawalah si Syaitan dan Iblis kerana berjaya menghunuskan pedangnya di hati manusia yang 'mati' dari cahaya Illahi. Tidak kah kita sedar semua ini?



Ada segelintir manusia yang merasakan dirinya sudah cukup hebat di sisi Ya Rab. Solatnya, zikirnya, ibadahnya dirasakan sungguh cukup sempurna dan mampu melintasi titian sirat dengan mudah. Sehingga menciptakan segelumit rasa bangga di dalam hatinya kerana menyangka diri tergolong dalam golongan mukmin. Jangan. Jangan pernah berprasangka seperti ini kerana hati manusia sangat rapuh. Sangat-sangat rapuh. Allah mengetahui sejauh mana keikhlasan hambaNya dalam mencari cahaya cintaNya. Rasulullaah SAW sendiri yang sentiasa dilindungi Allah, yang telah dijanjikan Allah syurga Firdausi tidak pernah walau sedetik pun meninggi diri memperkatakan amalan yang dilakukan sehari-hari. Malahan Nabi kita ini beribadah sehingga bengkak kaki baginda hanya untuk menuntut takwa dan kasih sayang Allah SWT. Maka, mengapa kita yang hanya hambaNya yang sangat-sangat kerdil merasa bongkak dan angkuh seperti itu? Adakah kita akan merasa aman kerana secara zahirnya kita soleh tetapi hati kita sebenarnya terselingkuh di kemudian hari?Tidak kah kita takut dengan tipu daya Allah?



Dari sekeping hati yang suci mampu berubah menjadi onar dan duri. Hati pada asalnya penuh dengan kelembutan dan kasih sayang agar kita saling menyayangi dan melindungi sesama sendiri tapi apa yang telah terjadi pada detik ini? Kerana dendam kita bermusuhan. Kerana dengki kita mencipta pergaduhan. Kerana marah, kita sanggup meleraikan persahabatan. Rosak binasalah hati akhirnya membawa kemusnahan pada diri sendiri.

Inilah persoalan yang membungkam pemikiran aku dini hari. Perihal penyakit hati yang semakin meruncing yang menggugat keimanan dan melunturkan ketakwaan. Ukhuwah yang terjalin terlerai hanya kerana terpedaya dengan bisikan hati yang sentiasa di cucuk dengan hasutan Iblis. Jangan gunakan kebencian dan kedengkian kerana apa pun kebaikan akan bernilai negatif di mata para pendengki. Jangan di biarkan hati terus bernanah, membusuk sehingga kebusukan itu dapat di hidu oleh orang lain. Didiklah, tuntunilah hati ini dengan madah dan kata Allah. Bersihkan hati ini dari kata yang kelam lagi suram. Jauhkanlah hati dari nafsu dan dendam. Dikhuatiri kita terus hanyut dalam jalan yang suram sedangkan jalan yang terang luas terbentang tidak dapat dilihat hanya kerana hati yang hitam penuh kegelapan. Semoga kita terlindung dari kekejian hati. Amin.






*Ketahuilah bahawa di dalam dada manusia ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya,   apabila ia rosak, rosaklah seluruhnya. Ketahuilah seketul daging itu adalah hati. (HR Bukhari dan Muslim)



3 comments:

Anonymous said...

hati yang baik hanya untuk hati baik sahaja...
jagalah hati supaya hati yang mendampingi kita juga terjaga..
segala galanya bermula dari hati..
baik buruk... hati yang tentukan...

julietdeorange said...

pandai kamu olah ayat. sedap di baca. dan terima kasih atas peringatan ini. hati yang satu itulah yang perlu dijaga kerana tanpanya, hilanglah segalanya. :)

niesa said...

Peringatan kita bersama kerana ramai yang buruk sangka dengan hati sendiri.

 

Terukir di bintang Template by Ipietoon Blogger Template | Gift Idea