Sunday, March 20, 2011

Mana Ayah, Mana Ibu

coretan niesa at 3:59 AM
Assalamualaikum wbt.






Menatap wajah ibu dan ayahku menyebabkan aku mengenang kembali sejauh mana aku pernah menggembirakan mereka. Kedut-kedut di wajah mereka memperlihatkan diri semakin di mamah usia. Sehingga saat ini aku masih mengenang jerit-perih mereka dalam membesarkan kami adik-beradik. Pasti nya kamu juga begitu, bukan?



Ibu,
Saat melihatmu aku terasa sedih. Betapa beruntungnya aku memiliki ibu seperti ibuku. Hatinya kuat, tidak pernah berkata tidak. Apa saja kemahuanku akan ditunaikan selagi terdaya. Ibu lah insan yang paling aku sayang di muka bumi ini, biarpun ibuku suka mengeluarkan leteran yang kadang-kadang membingitkan telingaku. Ibu mana yang tak suka berleter. Walaupun membingitkan tapi aku jadi rindu kalau tidak mendengar leteran ibu. Bila dikaji, betapa ramai insan yang bergelar anak ini menolak dengan mudah ibunya ke tepi. Apatah lagi di saat ibu mencapai usia senja. Perkara sebegini sering terjadi ke atas insan yang bergelar anak. Benar kata pepatah:


' Seorang ibu mampu menjaga dan membesarkan 10 orang anaknya dengan baik tetapi seorang anak belum tentu mampu menjaga ibunya dengan sempurna'


Sedih melihat peristiwa sebegini. Betapa mudahnya jasa seorang ibu dilupakan. Kepayahan dalam mngendongkan kandungan. Menahan ragam di saat awal kehamilan. Belum ditambah dengan berat kandungan. Sehingga bengkak kaki ibu, tak mampu hendak bergerak hanya untuk memastikan keselamatan anak dalam kandungannya. Saat kelahiran, betapa kuatnya kesakitan yang terpaksa ibu tahan sehingga kesakitan itu dikatakan kesakitan yang paling dahsyat. Penentu sama ada hidup atau mati. Subhanallah..Namun kesakitan itu hilang sama sekali saat menatap wajah anak yang baru dilahirkannya. Pertalian antara ibu dan anak adalah sangat unik. Sifat penyayang seorang ibu, dapat merasakan kesakitan dan kesusahan yang menimpa anaknya walaupun jarak membezakan mereka beribu-ribu batu jauhnya. Itulah antara rahsia pertalian antara si ibu dan anaknya yang sukar dihuraikan. Hadis Rasulullah saw ada menyebut: "Doa ibu itu lebih cepat makbul". Orang bertanya: " Kenapa ya Rasulullah?". Jawab Baginda: "Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa daripada orang yang penyayang tidak sia-sia." Jadi, mengapa hati ibu perlu disakiti?



Ayah,
Kegigihan dirinya dalam mencari sesuap nasi untuk anak-anaknya harus dipuji. Bagaimana seorang ayah sanggup membanting tulang, mengerah keringat mencari rezeki yang halal demi membesarkan zuriatnya. Ayah tidak pernah mengenal erti lelah, erti penat dalam menongkah arus dunia. Naluri lelakinya hanya ingin melihat anak-anaknya berjaya. Bukan wang ringgit yang di minta sebagai balasan tetapi kejayaan dalam menimba ilmu yang ingin dilihat. Menitis airmataku saat mengenangkan ketekunan ayahku mencari rezeki. Hanya untuk melihat anak-anaknya cemerlang. Cemerlang sebagai ilmuan jua cemerlang sebagai hambaNya. 

Namun berapa ramai manusia di muka bumi Allah ini yang menghargai jasa dan pengorbanan ibu dan bapanya? Bila senja meniti hari, ibu bapa terus dipinggirkan. Dek kerana anak telah berjaya mencipta diri menjadi seseorang yang di segani, ibu bapa malu untuk diakui. Seperti cerita mitos yang seringkali kita dengar:  Si Tanggang anak derhaka, Maling Kundang. Yang banyak memberikan pengajaran kepada kita. Tapi cerita itu sekadar cerita. Betapa ramai warga emas yang ditendang, dilempar di rumah orang-orang tua. Luluh hati mereka saat mereka ditempatkan di sana. Mengenang nasib tuanya yang hilang kasih sayang di hati anak-anak. Dibiarkan keseorangan meniti saki-baki hidup yang tidak tahu bila pengakhirannya. Wahai sang anak, tidak kah kamu sedar syurga itu terletak di bawah telapak kaki ibumu? Tidakkah kamu ingat bahawa doa ibu dan bapa amat makbul?. Tidakkah kamu ingat bahawa doa anak-anak yang soleh mampu melepaskan ibu bapamu dari siksaan api neraka? Tegarnya hatimu, kerasnya hatimu membiarkan ibu bapa terkapai-kapai dalam lautan yang kamu cipta.

Keterlupaan pada kasih dan sayang ibu bapa seringkali terjadi di saat anak-anak dilamar cintanya. Hatinya, perasaannya di tumbuhi dengan bunga-bunga cinta sehingga terlupa pada kasih ibu dan bapa. Dikala ini, dimatanya hanya kekasihnya bukan lagi ibu dan bapa. Kerana itu, bentakan, tentangan yang hebat tercetus sehingga meletuskan pergaduhan yang amat dahsyat antara ibu bapa dan anak sekiranya ada perselisihan pendapat. Ada yang tidak mahu mengakui asal-usulnya, susur-galurnya dek kerana malu dengan kehidupan ibu dan bapa. Sedangkan di situ dia membesar. Di situ dia bertatih dan terjatuh dalam mengenal dunia. Tapi semuanya digelapkan, dilupakan dari kotak pemikiran. Akhirnya, hambatan dan usiran di keluarkan sebagai amaran 'aku bukan anakmu lagi'. 

' Janganlah kamu sembah selain dari Dia dan hendaklah kamu berbuat baik dengan ibu bapa kamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-dunya mencapai usia lanjut di dalam pemeliharaanmu, jangan sekali-kali kamu katakan perkataan 'AH' dan janganlah engkau membantah mereka dan ucapkanlah perkataan yang baik buat mereka'




Kita renungkan sedetik, saat mereka hidup kita abaikan, kita lupakan kehadiran mereka. Namun saat mereka hilang, tidakkah ia turut meragut jiwa? Tiada siapa yang mampu menggantikan ibu dan bapa kita di dunia ini. Biarpun dicurahkan dengan lautan emas atau segunung permata sekalipun, kasih mereka tetap tiada nilainya. Keredhaan Allah terletak ke atas keredahaan ibu bapa. Seandainya ibu bapa tidak meredhai hidup anak-anaknya, mampukah anak itu berdiri megah dengan tenang di bumi ini?. Tidak. Tidak akan pernah. Hanya keluh kesah yang menanti. Wahai anak, sayangilah ibu dan bapamu lebih dari segalanya. Sebaik mana pun mereka, seburuk apa pun mereka, dakaplah mereka dengan erat disisimu. Jangan di tengking, di herdik, di hina mereka, kerana merekalah penawar hati kita. 

' Ya Allah Ya Tuhan Kami, ampunilah segala dosa-dosa kami. Ampunilah dosa ibu bapa kami. Tempatkanlah mereka dengan para solihin. Janganlah Kau siksa mereka kerana kesalahan kami. Ya Allah, mereka mendidik kami supaya kami beriman kepadaMu. Mereka membesarkan kami dengan penuh kasih sayang. Ya  Fatah hu Ya A'lim. Ya Rahman Ya Rahim. Amin'


Hayatilah video ini dan renungi asal kejadian kita dan apakah kita anak yang soleh atau sebaliknya.




Wassalam.

*Note: Tak faham kenapa harus membenci dan menabur dendam dalam hati terutamanya untuk ibu bapa sendiri. Buang yang keruh ambil yang jernih.


Khairunnisa:
1. Sentiasa berusaha menjadi anak yang solehah.
2. Tak sanggup biar ibu dan ayah menangis.
3. Sayangilah ibu dan bapa tidak kira walau macam mana pun keadaan mereka.

0 comments:

 

Terukir di bintang Template by Ipietoon Blogger Template | Gift Idea