Sunday, April 10, 2011

Cinta Dia dan dia

coretan niesa at 7:59 AM


Menunggu,
Pada sesuatu yang belum tentu,
Bayangnya tidak ketemu,
Namun jiwa ingin tahu,
Adakah wujud kamu disitu.

Menanti,
Saat hadir insan disisi,
Walaupun tidak diketahui,
Adakah mimpi menjadi realiti.






Penunggu yang setia. Begitulah jiwa yang kosong nan lohong. Mencari pendamping diri yang dini hari masih menjadi misteri. Menunggu akan hadir saat yang dinanti. Tapi,bila??? Itu tak pasti.

Aduhai hati yang sepi,
Ingatkanlah pada jiwa bahawa diri ini terjadi dari tulang rusuk lelaki. Suri bagi kegelisahan sang lelaki. Penguat dalam ketabahan lelaki. Percayalah pada rahsia Illahi. Kerana telah Dia jadikan kita berpasangan di muka bumi ini. Jangan pasrah dalam menanti. Pasti akan ada tangan yang memetik sang bidadari. Jangan resah pada sempadan hati. Yang tak mampu untuk mengukir rahsia cinta pada sang teruna pilihan hati. Biarkanlah cinta ini terdakap sunyi dalam diri kerana diri tak sekuat Khadijah yang berani. Mengungkap rasa cinta pada Rasul kekasih Illahi.

Aduhai bunga yang terkulai layu,
Janganlah berduka pada masa dahulu. Perbaikilah dirimu. Agar menjadi mekar seperti dahulu. Mungkin sang Adam di sana turut menunggu perubahanmu. Agar masa hadapan tidak terselingkuh seperti kala dulu. Marilah menjaga peribadi agar keindahannya terserlah hanya pada kekasihmu. Jangan di runtum hati yang murung. Kerana Dia tahu apa yang kamu mahu.

Aduhai bidadari syurga,
Ketahuilah diri ini adalah perhiasan dunia. Yang mampu menongkah arus dunia jua pendorong ke alam syurga. Ciptakanlah diri menjadi wanita yang mulia sebelum sang Adam hadir mengimamkan kita. Susuni tutur bicara pelengkap segala madah dan bahasa. Kelak tersemi Izzah yang hanya terpaut padaNya. Jika ingin pendamping yang soleh, maka ciptakanlah dirimu menjadi yang solehah kerana telah Allah perkatakan 'Lelaki yang baik adalah untuk wanita yang baik'.

Aduhai hawa pemanis dunia,
Janganlah terlalu menagih cinta manusia. Sehingga kehilangan jiwa dan raga. Jangan menyerahkan hatimu pada sang kumbang yang buta hatinya, liar matanya, buruk sayapnya. Tatkala duka tiada yang mampu mengesat air mata melainkan penyesalan yang tak terkata. Jagalah hatimu dari mudah percaya. Pada khianat dan kelekaan dunia. Gunakanlah kelembutanmu dalam membidas kata. Kukuhkan akal fikiranmu dengan ilmu di dada. Penuhi jiwa dengan sifat sabar dan redha. Dan ingatlah darjatmu mulia di sisi Allah Taa'la. Ikutlah suruhan tinggallah yang dilarang. Moga hidup lebih bermanfaat di dunia jua di akhirat. Jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Maka jangan digusari andai dirinya belum datang. Nantilah dengan penuh kesabaran. Disamping doa yang istiqamah dan penuh keikhlasan. 




Nota untuk AdamWanita diciptakan dengan sangat indah. Peliharalah hatinya dengan cinta. Belailah jiwanya dengan sayang. Pimpinlah tangannya agar tercipta menjadi seorang bidadari untuk Tuhannya jua kekasihnya.


Khairunnisa:

'Cintailah Allah dengan sebenar-benarnya kerana sesungguhnya Allah yang melahirkan rasa cinta sesama manusia.'








0 comments:

 

Terukir di bintang Template by Ipietoon Blogger Template | Gift Idea