Wednesday, August 24, 2011

Akhirnya Harus pergi

coretan niesa at 5:33 PM



Bismillahirahmanirahim





Di mana harus berhenti. Di mana harus dimulai. Ingin bermula tetapi tanda noktah sudah meniti. Ingin berlari tetapi garisan penamat menghampiri.


Benar, itulah kecelaruan hidup. Tatkala jiwa bertemu persimpangan, hati longlai memilih. Akal mati berfikiran. Akhirnya nafsu mengemudi. Bertemu pula syaitan yang membisik-bisik. Maka kaki dihayun laju ke 'situ'.
'SITU' yang tiada cahaya, penuh kegelapan, penuh kemaksiatan, penuh kelalaian. Mengapa 'SITU' menjadi pilihan.


Kerana IMAN yang hilang. Tatkala dosa melingkari, hati takkan pernah sedetik pun merasa tenang. Resah-gelisah menjadi teman. Sejauh mana pun kesenangan pasti akan terjelepuk juga. Kerana larian yang tidak sehaluan denganNya. Sedar atau tidak?


Manusia dan Kesalahan. Tidak pernah berenggang. Malah bersahabat. Namun, sampai waktu harus dipisahkan. Kerana IMAN dan ISLAM melarang. Hidayah Allah tidak akan hadir dengan sendirinya tetapi ia akan mendekati mereka yang mencari. Janganlah dibinasakan diri. Andai rasa dosa menghantui, maka mengapa diteruskan hayunan kaki?


Allah sentiasa memerhati. Mendengar apa jua yang terlintas dibenak hati. Mengetahui apa sahaja yang ingin diharungi. Untuk apa kita memungkiri andai Sang Pencipta sentiasa mengawasi? Untuk apa menimbulkan amarahNYA pada diri sedangkan kita tahu hukuman itu AMAT BERAT tak tertanggung nanti. 


Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih. Allah sangat merindui tangisan hambaNya. Yang sentiasa memohon keampunan atas segala dosa. Meminta petunjuk dan rahmat dariNya agar hidup terpandu ke arah cahaya. Allah sangat-sangat mengasihi kita. Tapi kita sering membiarkanNya. Sedangkan segala nikmat yang kita perolehi kini adalah dengan keizinanNya. Tidakkah kita dikategori sombong lagi bongkak?


Tika ini, saat ini..
Renungi adakah kita mampu melintasi titian sirat tanpa tergelincir di pertengahan? Mampukah kita bersama dengan Rasulullah kelak? Dapatkah kita mencium haruman syurga? Adakah seluruh penghuni langit akan membentang jalan untuk kita saat roh diangkat ke 'sana'? Benar, persoalan yang mati jawapannya.


Dan terlintaskah difikiran tatkala kita bangun dari pembaringan lalu melihat ke belakang ada seorang insan yang kaku persis seperti kita. Sejenak kemudian ramai yang menghampiri menghamburkan tangisan kerana jasad itu kaku tak bersuara. Sejuk membeku. Membisu selamanya. Dan kita hanya termanggu melihat tanpa mampu berkata "AKU DI SINI".


Pasti ketakutan melekat erat melihat jasad kita ditutup kemas bersama kain yang memutih. Saat dipertemukan semula bersama tanah akhirnya kembalilah kita pada tempat asalnya. Apakah bekalan yang dibawa? Cukupkah untuk disaji di hadapanNya?


Peringatan untukku jua buat semua, 
Ramadhan kian membenamkan wajahnya. Tiada lagi bulan seindah bulan rahmat ini. Mampukah untuk diri berjumpa Ramadhan yang seterusnya. Andai ini Ramadhan terakhir, pasti jiwa meronta. Menyesal tiada kata. Sebelum Ramadhan pergi buat selamanya, peluklah dengan seeratnya detik terakhir Ramadhan ini. Kerana Allah sangat menanti luahan hati dari hambaNya yang dikasihi. Pergilah meninggalkan maksiat dan kegelapan. Pergilah menjauh dari kelalaian dan kealphaan. Pergilah dari mengenal kekhilafan.


Semoga Ramadhan ini menjadi titik permulaan pada perubahan dan jua kekuatan agar jiwa terdidik menjadi muslim yang sejati. Ameen.








'Tiada lagi yang berhak untuk di cintai melainkan ALLAH dan Rasulullah'





0 comments:

 

Terukir di bintang Template by Ipietoon Blogger Template | Gift Idea