Bismillahirrahmanirrahim
'Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah'
Semua wanita yang dilahirkan Islam adalah muslimah. Namun mencari muslimah yang mukminah itu amat sukar untuk dijejak. Kerana seorang muslimah yang mukminah terpancar dari kesempurnaan penutupan auratnya daripada menjadi jamuan percuma kepada mata-mata lelaki yang ajnabi.
Islam menuntut kaum Hawa menutupi auratnya kerana martabat seorang wanita itu sebenarnya adalah sangat tinggi. Bukannya harus di pijak-pijak, di hina-hina sepertimana yang pernah terjadi pada zaman jahiliyah. Kerana melalui seorang wanitalah lahirnya seorang imam yang disegani. Dari rahim seorang wanita jua terbentuknya seorang lelaki yang bergelar pemimpin yang dihormati. Melalui seorang wanita juga terciptanya seorang lelaki yang berakhlak mulia dan berkeperibadian tinggi. Maka kerana itulah Allah menjaga wanita itu bermula dengan penutupan auratnya yang sempurna.
Namun, muslimah dinihari ramai yang kurang jelas mengenai pengertian aurat yang sebenar-benarnya. Menutupi aurat bukan sekadar menutupi kepala tetapi merangkumi semua aspek secara keseluruhan yang wajib diperhalusi satu per satu. Ironinya, wanita kini terlalu memudahkan dalam soal penutupan aurat sehingga tidak mampu untuk membezakan antara menutup aurat dengan membalut aurat!
Ada juga yang meyangkal, membangkang tentang soal penutupan aurat. Katanya 'Iman itu terletak di dada bukannya pada pakaian dan personaliti'. Tetapi jika terlihat dengan jelas lagi nyata tubuh badannya dari kepala hinggalah ke telapak kakinya, masih mampukah itu dapat digelar sebagai wanita muslimah? Masih mampukah untuk di tanya tentang iman di dada? Masih mampukah dibezakan dengan mereka yang berlainan agama dan kepercayaannya? Tatkala seseorang wanita itu membaluti dirinya dengan takwa, pastinya pakaiannya jua mampu menceritakan tahap keimanannya. Jelas bukan? Jadi mengapa harus menyangkal pada sesuatu kebenaran yang telah dicatatkan oleh Sang Pencipta. Layakkah kita untuk mengubah hukumNya?
Wahai wanita,
Telah Allah ciptakan dirimu dengan kecantikan yang tiada penghujungnya. Kecantikkanmu, kelembutanmu, kegigihanmu adalah sangat indah. Namun perindahkanlah peribadimu mengikut acuan yang telah ditentukan olehNya. Janganlah berasa bangga dengan kecantikan yang dimiliki sehingga sanggup menjadikan diri jamahan nafsu lelaki. Janganlah berasa enak dengan kelembutan yang dianugerahi sehingga sengaja meliuk-lentukkan bahasa badan bagi menarik mata sang lelaki. Peliharalah bibir daripada mengungkap bicara yang mendayu dan bernada manja agar jauhnya hati dari fitnah dan zina dunia.
Wanita,
Seorang wanita yang solehah adalah lebih baik daripada 70 orang lelaki mukmin. Allah mengangkat darjat wanita setinggi langit. Jadi mengapa ramai wanita sanggup meletakkan diri serendah bumi? Setiap manusia akan dipanggil menghadap Allah di akhirat kelak namun Dia sendiri yang akan datang untuk melihat wanita yang menjaga auratnya dengan istiqamah. Tidakkah itu yang dinantikan oleh kita, wahai muslimah?
Ternyata wanita sangat mudah untuk menjadi penghuni syurga namun ramai wanita terhumban dalam api neraka. Mengapa? Kerana goyahnya iman wanita dalam mempertahankan auratnya. Peliharalah ia kerana auratmu adalah maruahmu. Percayalah, hampir kesemua lelaki inginkan wanita yang terpelihara auratnya sebagai suri dalam hidupnya. Jadi untuk apa kita mengganggu-gugat nafsu mereka yang fitrahnya lemah lagi melemahkan?
Sesungguhnya pakaian yang terbaik untuk diri adalah TAKWA. Seandainya takwa bertakhta dalam naluri maka pendedahan aurat takkan menjadi isu lagi. Marilah berubah mencari kesempurnaan dalam memelihara aurat kita. Janganlah dek kerana fesyen yang trendy, kita bermegah-megah sehingga terlupa aurat sudah makin terdedah. Islam itu mudah tetapi janganlah mempermudahkan hukum yang sudah tercatat. Ingatlah, Allah melaknat wanita yang sengaja mendedahkan auratnya kepada sang kumbang yang bukan mahram!. Semoga semua wanita muslimah dapat memelihara auratnya dengan sempurna. AMEEN...
Firman Allah SWT:
'Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan serta pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah ( dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) agar mereka mengenangnya (dan bersyukur)'
Khairunnisa:
Peringatan untuk diriku jua.
0 comments:
Post a Comment