Tuesday, July 05, 2011

Iman Itu Indah

coretan niesa at 6:29 AM
Assalamualaikum wbt





Seketika,
Hati tersentuh tatkala memandang kalimah Muhammad lalu jari jemari menyingkap kisah Rasulullah saw yang amat di rindui.
Benar, kerinduan itu amat dirasai. Membuat diri tersangat ingin melihat Baginda di akhirat nanti. Namun, keraguan membelenggu diri. Dapatkah diriku menerima syafaatnya kelak sedangkan diri masih terpalit dosa kelmarin.


Ku memandang Islam pada zaman ini. Millenium disanjung tinggi namun Islam terpinggir jauh dari sisi. Apatah lagi dimusuhi oleh umat Islam sendiri. Bersoraklah Yahudi melihat Islam yang bagai dihujung tanduk. Menanti rebah ke bumi. Nau'zubillah...


Menyingkap semula bagaimana sukarnya Nabi saw menghidupkan sinar Islam di tanah gersang yang penuh dengan kejahilan dan kekejaman. Bagaimana Nabi saw di hina, di caci, di herdik, di pulaukan oleh saudaranya sendiri. Namun tiada sekelumit pun rasa benci dan dendam dalam jiwa Baginda.


Tatkala Islam mula menyinari Tanah Arab, muslimin dan muslimat diseksa dengan sangat kejam oleh kaum Quraisy dengan harapan mereka meninggalkan Islam yang Rasulullah saw perjuangkan. Lihatlah bagaimana Bilal bin Rabah, muazzin Islam yang pertama jua seorang hamba telah diseksa dengan diletakkan batu yang besar di dadanya dalam keadaan panas yang terik. Namun, itu tidak langsung menggugat keimanannya malah menambahkan lagi cintanya kepada Allah dan Rasulullah saw.


Ummu Sulaim, antara srikandi yang terawal memeluk Islam. Tatkala cahaya nubuwwah mulai terbit dan dakwah tauhid muncul, Ummu Sulaim tanpa ragu-ragu mengucapkan syahadah lantas meninggalkan zaman jahiliyahnya. Suaminya, Malik bin Nadir tersangat marah apabila mengetahui isterinya telah pun memeluk Islam. Lalu di hadapan suaminya, Ummu Sulaim mengajar anaknya, Anas bin Malik mengucap dua kalimah syahadah. Lantaran kemarahan yang membara, Malik terus meninggalkan isteri dan anaknya di Madinah dan berhijrah ke Syam. Dalam perjalanannya ke Syam, Malik telah terserempak dengan musuhnya lalu berlakulah pergelutan sehingga menyebabkan Malik terkorban.


Setelah Anas mencapai usia kedewasaan, Ummu Sulaim telah dilamar oleh Abu Talhah al-ansar namun pinangan itu ditolak kerana Abu Talhah ketika itu belum memeluk Islam. Biarpun Abu Talhah datang meminang berkali-kali, namun dengan tegas ditolak oleh Ummu Sulaim walaupun ditawarkan mahar yang sangat tinggi. Berkat cahaya Islamiah yang terpancar dibibir Ummu Sulaim, akhirnya terucaplah kalimah syahadah oleh Abu Talhah. Sesungguhnya dia memiliki mas kahwin yang paling mulia daripada wanita-wanita pada ketika itu dan mas kahwinnya adalah Islam.


Zinnirah, hamba kepada Umar Al-Khattab telah menerima cahaya keimanan semasa Nabi saw menyebarkan Islam secara sulit (sembunyi-sembunyi). Zinnirah telah melakukan suruhan Allah secara sembunyi-sembunyi kerana dikhuatiri pengislamannya diketahui oleh tuannya. Tetapi, Umar Al-Khattab telah menghidu perubahan yang berlaku kepada hamba sahayanya itu. Umar yang sangat dikenali sebagai seorang yang berani, bengis, sangat membenci Rasulullah, mencaci sahabat-sahabat yang memeluk Islam malah sanggup menanam anak perempuannya hidup-hidup hanya kerana mengikut tradisi masyarakat jahiliyah ketika itu. Kebenciannya  membuak-buak tatkala mengetahui Zinnirah jua turut memeluk Islam. Bermulalah seksaan yang bertimpa-timpa sehingga Zinnirah dicaci, dihina, dijemur di tengah panas terik, disepak, diterajang tanpa sekelumit belas kasihan pun gara-gara kebenciannya terhadap Islam. Namun itu semua tidak langsung menggoyahkan iman Zinnirah. Kemuncak seksaannya adalah apabila matanya dicucuk dengan besi panas sehingga membutakan kedua-dua belah matanya. Maka, bermulalah kehidupannya dalam kegelapan tetapi hatinya di simbahi penuh dengan cahaya keimanan. Ujian yang diterima olehnya menebalkan lagi keimanannya terhadap Islam sehinggalah Allah memberi karamah kepada Zinnirah dengan mengurniakan semula penglihatannya yang hilang. Hatinya dilimpahi dengan rasa syukur atas kurniaan yang telah dianugerahkan Allah kepadanya. Jua akhirnya Umar Al-Khatab diberikan hidayah oleh Allah untuk memeluk Islam apabila mendengar anaknya mengalunkan beberapa ayat dari surah Thoha.




Begitulah antara insan-insan yang dipilih oleh Allah dalam mengharungi peringkat awal permulaan Islam. Betapa sukarnya untuk berdiri gagah melaungkan kalimah Allah. Tetapi kini segalanya berubah. Islam bukan sahaja dimusuhi oleh golongan kafir malah diperkotak-katikkan oleh masyarakat Islam sendiri. Lihatlah betapa ramainya mempermudahkan ajaran Islam. Tanpa rasa malu, auratnya terdedah. Tanpa rasa ragu, rela merendahkan diri bergelumang dengan maksiat dan dosa. Tanpa rasa takut, rela mempersoalkan hukum-hakam yang sememangnya tercatat dengan jelas dalam Al-Quran. SubhanAllah.....




Di manakah kesedaran kita pada agama kita sendiri. Mengapa ada lagi hati-hati insan yang dilahirkan Islam tetapi rela meludah pada agama Islam. Islam adalah agama yang sebenar-benarnya. Telah diketahui semua itu tetapi mengapa masih ada lagi yang berdolak-dalih? Masyarakat akhir zaman dikurniakan dengan ilmu dan akal yang tinggi. Malahan cerdik pandai melebihi daripada zaman terdahulu, maka mengapa dibiarkan diri dijajahi semula oleh zaman jahiliyah. Wanita dieksploitasi, rasuah berleluasa, hasad dengki yang membara, permusuhan di sana-sini. Hiburan menjadi wadah utama dalam kehidupan. Ilmu dunia semakin dikejar sehingga terlupa pada ilmu akhirat. Maksiat berleluasa tetapi ramai yang membutakan mata. Hukuman dunia lebih ditakuti daripada hukuman Allah. Masjid tersergam indah bersama teknologi dan pembinaan yang canggih namun yang mengimarahkan masjid boleh dikira dengan jari. Yang pelik konsert-konsert yang melalaikan sanggup dihadiri biarpun tiketnya diletakkan pada harga yang sangat tinggi. Apa nak jadi dengan manusia zaman ini.






Sesungguhnya kita memang sangat jahil. Seandainya kita dapat melihat dengan jelas betapa besarnya nikmat Allah dan betapa peritnya seksaan Allah pastinya kita akan sujud dengan bersungguh-sungguh dan menjauhi diri dari terjunam dalam dosa dan maksiat. Renungilah masyarakat Islam di luar sana. Bagaimana sukarnya mereka ingn hidup dengan bertauhidkan Allah. Sanggup berperang, berjihad demi agama Allah. Rela mati di jalan Allah. Tapi kita? Sanggup membunuh demi harta dunia, sanggup menggadaikan maruah demi pangkat dan kuasa dunia. Sanggup berkeji-kejian, bermusuh-musuhan, fitnah-memfitnah sesama sendiri hanya kerana dunia. Sedarlah dunia hanya persinggahan. PERSINGGAHAN.


Alangkah bahagia apabila keluar sahaja dari rahim ibu, nama kita sudah ada 'BIN' atau 'BINTI'. Kita tak perlu lagi menanti hidayah Allah untuk mengenali dan memeluk Islam sepertimana yang berlaku kepada mereka yang bukan Islam. Tetapi kita khilaf dalam membuat perhitungan mengenai kehidupan. Kita lupa akan janji kepada Allah sewaktu berada dalam rahim ibu. Kita berjanji untuk menjadi khalifah Allah di muka bumi ini. Menjadi hambaNya dan menuruti suruhanNya. Malahan telah dikatakan siapa musuh kita. Telah diceritakan siapa yang ingin menyesatkan kita. Namun kita tetap terpengaruh dengan musuh durjana kita.
Benarlah, manusia memang mudah lupa!.






Sedarlah wahai sahabat,
Dunia hanya satu persinggahan. Di dunialah kita perlu mencari bekalan agar kelak kita tidak lapar dan dahaga untuk berada pada dunia yang sebenarnya. Menyesal di kala itu tiada gunanya. Marilah kita perbaiki diri, bersihkan hati, mencari Ilahi. Allah tidak pernah meninggalkan kita walau sesaat. Sayangilah Allah kerana Dia telah memberi banyak nikmat kepada kita. Sayangilah Rasulullah saw yang telah banyak menderita kerana kita. Sayangilah Islam kerana hanya kita yang faham apa itu Islam dan Islam itu benar.
Bersatulah dalam membentuk ukhuwah.
Berjuanglah atas nama Allah Yang Maha Esa.
Ketahuilah iman itu sangat indah.


Wallahua'lam.




Khairunnisa:
1.Malaikat Raqib dan Atid sentiasa mencatatkan perbuatan kita. Dan jangan lupa malaikat maut juga sangat setia menjenguk manusia dan setiap hari akan ditatap dan direnung setiap wajah manusia sebanyak 70 kali.
2. Turut menasihati dan memperingati diri sendiri.

1 comments:

Anonymous said...

apa yang saya cari, terima kasih

 

Terukir di bintang Template by Ipietoon Blogger Template | Gift Idea