Thursday, April 28, 2011

Kuat Tapi Lemah.

coretan niesa at 7:40 AM




Susah, Sakit, Sedih.
Tiga ayat yang sering meruntum jiwa manusia. Tak ada seorang pun yang pernah terlepas daripada merasai tiga perkara itu termasuklah diriku. Saat itu dirasakan hidup tanpa haluan, semua jalan penyelesaian tertutup rapat seolah-olah mati dalam tempikan manusia yang berkeliaran. Mencari-cari dan tercari-cari di manakah jawapan tapi semuanya menghilang. Aduh, pertolongan di cari namun tiada siapa yang memberi. Yang di dapati cuma nasihat dan dinasihati. Sekadar penguat untuk berdiri. Kasihan nya diri sendiri. Akhirnya, menangis tanpa henti.





Keluh kesah yang melanda tak siapa pun yang peduli. Biarpun hadir beberapa insan yang merapati namun ia sekadar peneman pengubat hati. Masalah, kesusahan tetap harus di hadapi oleh diri sendiri. 'Kenapa semua ini terjadi? Kenapa aku yang kena hadapi semua ini? Mengapa takdir tak pernah menyebelahiku'. Mengapa dan Kenapa. Persoalan yang sering terucap di bibir tatkala kesusahan mendekati diri sehinggakan ada yang sanggup meletakkan takdir sebagai suspek utama pada kehancuran hati. Jangan.

Ujian adalah tarbiah dari Allah. Sesungguhnya kasih sayang Allah dapat dilihat dengan mengukur sejauh mana  kesusahan yang telah diberikan olehNya. Renungkanlah, para nabi dan rasul sendiri teruji dan di uji dengan sangat hebat. Betapa cekalnya hati nabi-nabi kita dalam meraih kasih sayang Allah. Bukan hanya berdarah di tangan, di kaki dan di anggota badan yang lain malahan hati mereka di robek, di kikis, di tarah oleh manusia-manusia yang kufur. Mengapa Allah tidak menjadikan para nabi dan rasul kebal, badan yang tak lut dek sebarang senjata, yang kekuatannya tidak mampu di tandingi oleh mana-mana manusia? Kerana Allah ingin manusia sedar bahawa kesakitan itu adalah suatu nikmat dan kenikmatan itu hanya dapat dirasai seandainya ada rasa cinta di hati kita pada sang pencipta. Kerana itu janganlah kita mengabaikan rukun iman yang ke-enam dengan meletakkan takdir di tangan bukan pada Tuhan.

Menangis, Tangisan, Rintihan. 
Itulah fitrah manusia bila hati di landa kecewa. Menangislah , keluarkanlah air mata seandainya itu mampu menenangkan jiwa nan lara. Tetapi janganlah terlalu berlebihan sehingga terasa hidup tiada harapan. Lebih indah seandainya tangisan itu hanya terlerai tatkala berbicara bersamaNya. Luahkanlah hanya pada yang Esa kerana hanya Dia yang faham kesakitan kita. Apa guna kita menjaja, bercerita sehingga keluar air mata darah pada sang manusia yang terbatas perilaku dan akal fikirannya. Belum di tambah lagi sejauh mana keikhlasan hati mereka dalam menerima kesusahan kita. Susah bukan?

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). (Surah Al-Baqarah ayat 214)




Kecewa, Hampa, Derita.
Di manakah pengakhirannya? Tiada jawapan. Tapi sebagai hambaNya janganlah kita sering berkeluh-kesah pada derita yang melanda. Senyumlah pada derita, senyumlah pada kecewa. Nescaya Allah akan tersenyum melihat kita. Biarpun ianya amat pedih untuk hati menerima namun pasti kita mampu gagahi ia kerana Allah tidak akan membebani hambanya melebihi kemampuan hamba itu sendiri. Ingatlah, pertolongan Allah itu sangat dekat. Lebih dekat dari hembusan nafas. Maka untuk apa kita mengenali dunia kecewa dan derita sedangkan kita tahu Allah sentiasa ada. Serahkanlah jiwamu kepadaNya, berikanlah kekecewaanmu jua kepadaNya. Walau seberat mana pun dugaan itu, percayalah Allah itu Maha Memberi dan Maha Mengetahui.


Sesungguhnya, bersama kesusahan itu, wujud kesenangan. Dan sesungguhnya, bersama kesusahan itu, wujud kesenangan. (Surah Al-Insyirah ayat 5-6)


Wahai saudara seakidahku,
Doa adalah kekuatan kita. Dari doa kita peroleh kekuatan, Dari doa kita peroleh ketenangan. Dari doa jua lah kita peroleh kesenangan dalam merungkai masalah yang dihadapi. Allah sangat sayang kepada hambanya yang selalu mencintaiNya. Dan ingatlah melalui ujian dan dugaan jua dapat mengingatkan semula jiwa pada Allah yang Maha Esa. Saat diri terjelepuk ke dalam gaung yang gelap dan malap, janganlah menangis dan meronta kerana ketakutan dan kehibaan tetapi pandanglah ke atas dan depakan tangan. Lihatlah Allah pasti ada.

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.” Surah Al-Baqarah ayat 186.




Nota: Kekuatan hanya mampu diperolehi apabila diri berserah sepenuhnya hanya untukNya.


Khairunnisa:
1. Bukan mudah untuk membina kekuatan di saat diri di timpa ujian dan dugaan.
2. Hanya mampu berserah.




1 comments:

SHM said...

bersabarlah..sesungguhnya Allah bersama dgn org yang bersabar...

 

Terukir di bintang Template by Ipietoon Blogger Template | Gift Idea