Assalamualaikum wbt.
Jatuh..
Tersungkur..
Hati terasa perit. Akal pun mula mengimbau semula segala kekalutan yang terjadi sehingga penyebab diri tersepit.
Sakit dirasai. Jiwa bergelojak memutar semula saat itu. Timbul rasa sesalan yang tiada penghujungnya. Lalu muncullah perkataan 'KALAU' dibenak pemikiran.
'Kalau aku tahu begini perngakhirannya pasti aku takkan memulakannya'.
'Kalau inilah hasilnya, takkan pernah hati membuatnya'.
Manusia mana yang tidak pernah membuat kesilapan. Kerana dalam jiwa manusia terdapat satu bahagian yang amat sukar untuk dikawal iaitu 'Nafsu'. Nafsu serakah yang mampu merosakkan keunggulan akal. Nafsu yang mampu menggelapkan kecerahan hati andai tidak dikawal. Nafsu yang mampu menjadi tangan dan kaki pada kemusnahan.
Mengapa hidup lebih beerti selepas tersadung dan tersungkur ke tanah?
Kerana hanya melalui kesilapan itu hati manusia mudah untuk berubah. Hanya kerana kesilapan itu, akal mampu untuk ditabal menjadi raja semula. Hanya kerana kesilapan itu, hati manusia mudah tersentuh untuk belajar erti kebenaran. Dan melalui kesilapan itulah hati manusia lebih lunak untuk mendekatiNya.
Fitrahnya manusia ini mempunyai sifat tergesa-gesa. Malahan penuh dengan sifat sombong dan bongkak. Maka kerana itulah Allah mendatangkan musibah dan kesusahan untuk menggundah-gulana hati manusia. Untuk apa?
Agar manusia sentiasa beringat dan bersyukur pada setiap yang dimiliki. Menguji sejauh mana iman tersemat dihati. Menanti apakah naluri mampu mengucap syukur saat kesakitan dirasai. Atau hanya berkeluh-kesah dengan berjuta penyesalan kerana membuta-tuli percaya pada nafsu yang buta hati.
Kerana itu jua Allah telah menyediakan pintu taubat. Agar hamba-hambaNya sujud semula pada asal kejadian. Agar jiwa mampu kembali semula pada yang Hak dan kebenaran. Meminta dengan belas dan kesungguhan hanya padaNya. SesungguhNya hanya Allah yang memberi dan hanya Allah yang berhak mengambilnya kembali.
Wahai saudara-saudari yang seakidah denganku,
Janganlah sekali-kali meletakkan kekhilafan seseorang itu sebagai hukuman di tangan. Kerana belum tentu lagi diri sendiri sudah cukup hebat sifatnya. Janganlah dijaja-jaja, diintai-intai, diungkit-ungkit kesilapan yang telah dilakukan oleh seseorang. Pastinya pengaiban mampu tercetus dan merosakkan ukhuwah yang terjalin.
'Berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar'
Oleh itu, menjadi tanggungjawab seorang mukmin untuk berpesan-pesan sesama saudaranya bukannya menghina-hina apatah lagi mengherdik si pesalah. Jadikanlah mata sebagai tongkatnya dan tangan sebagai cahayanya agar jelas terpancar jalan yang cerah untuknya bertatih semula. Sekali terjatuh bangunlah semula tetapi jangan sesekali membiarkan diri tersadung pada tempat yang sama.
Bertaubatlah di saat diri tersedar pada kesilapan. Sesungguhnya pintu taubat sentiasa terbuka selagi nyawa masih di jasad.
Wassalam.
Khairunnisa:
1. Sedih dengan segelintir insan yang sering mencari aib saudaranya sendiri.
2. Janganlah mencampakkan diri ke dalam kebinasaan. Perbaikilah diri.
4 comments:
jatuh bgn terus beramal..moga allah sayang kita
@shairazi sharizan
InsyaAllah. Allah tak pernah meninggalkan kita walau sesaat.
jatuh bangun fitrah kehidupan...
jika kte sntiasa di atas sudah pasti sfat2 mazmumah mnguasai...yg slama ni kte harapkan diri untuk hiasi diri dgn sft2 mahmudah akn lalu prgi begitu sahaja~~ renungan bersama...
@sea_lavender
Benar. Sebab itulah kena jaga hati dengan baik agar terhindar dari sifat mazmumah. :)
Post a Comment