Monday, May 23, 2011

Saat Bumi Bergegar

coretan niesa at 8:07 AM

Assalamualaikum wbt


Alam. Merangkumi bumi dan sistem angkasa. Betapa luasnya langit dan bumi. Diserikan lagi dengan bulan dan bintang yang bercahaya menyinari alam. Malahan juga dipancari dengan sinaran cahaya matahari yang memberi banyak manfaat pada hidupan. Tiada perkataan yang mampu untuk dilafazkan bagi mengungkap keindahan dan kecantikan alam. Tanda kekuasaan Allah yang tiada tandingan.


Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan perbezaan malam dan siang adalah ayat (tanda) kepada orang yang mempunyai fikiran.” (Surah Ali-Imran: 190)

“Dan Dialah yang menjadikan bintang-bintang bagimu, agar kamu menjadikannya petunjuk dalam kegelapan di darat dan di laut. Sesungguhnya Kami telah menjelaskan tanda-tanda (ayat-ayat) kebesaran (Kami) kepada orang-orang yang mengetahui.” (Surah al-An´am: 97)

Setelah Allah SWT mencipta langit dan bumi, Allah jadikan pula makhluk-makhluk lain yang berjumlah 120, 000 jenis semuanya termasuk manusia. Satu-satunya makhluk yang dikurniakan akal untuk menjadi raja di muka bumi. Darjat manusia di julang tinggi dengan pemberian akal ini walaupun jika diselidiki asal kejadian manusia adalah daripada tanah dan air mani yang hina. Di kurniakan akal fikiran menunjukkan betapa Allah memuliakan manusia dengan menyerahkan daratan dan lautan untuk manusia kuasai.

" Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkat mereka di daratan dan lautan, Kami berikan mereka rezeki daripada yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna ke atas kebanyakkan makhluk yang telah Kami ciptakan." ( Surah al-Isra' 17:70)

Namun sejauh mana manusia menyedari dan menghargai mandat yang telah Allah kurniakan. Betapa kejam dah zalimnya manusia hari ini terhadap alam sendiri. Merobek, mengoyak kulit bumi tanpa perasaan belas dihati. Tertawa memandang bumi dilapah hanya untuk mengejar kemewahan, kekayaan, nama dan pangkat. Tidakkah kita sedar, bumi semakin tenat untuk meratapi segala kerosakan yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia. Sombong dan bongkaknya manusia ini. 

Dini hari, demi merebut jajahan dan sumber bumi, manusia sanggup memusuhi sesama sendiri. Rela menyemburkan darah di tanah, asalkan yang diingini digapai. Menodai setiap hati naluri insan tanpa mengira bersalah atau tidak. Mencipta berbagai alasan dan persoalan agar peperangan dapat di cetuskan. Akhirnya, bersemarak api dendam yang membara demi tanah jajahan. Konspirasi apakah yang berlaku, aku sendiri kurang memahami. Tanah Arab sentiasa di gegari dengan peperangan. Kononnya ingin meleraikan persengketaan tetapi sebenarnya berhasrat melumpuhkan gagasan. Rakyat Islam terpaksa menyahut seruan, berjihad mempertahankan yang hak biarpun tahu 'mereka' tidak dapat ditumpaskan dengan mudah. Tergadailah segalanya yang pernah dipelihara. Bukan sahaja negeri dirosaki malahan bumi menahan sakit tidak terperi. Itulah yang terjadi pada Iraq, Palestin, Mesir,Libya dan yang terkini di Pakistan. Astaghfirullah hal a'zim.




Lihatlah muka bumi kini. Kalau dulu kita belajar bumi adalah berbentuk sfera. Tapi sekarang, mungkin bumi kita dah berlubang-lubang di sana-sini. Tidak hairanlah mengapa kadar kepanasan di bumi semakin tinggi mendadak. Kawasan yang kering-kontang boleh dituruni dengan salji. Kawasan yang sering mengalami hujan sepanjang tahun berhadapan dengan kemarau yang berpanjangan. Kawasan yang dikatakan selamat mampu di timbusi tanah yang telah lama tegak berdiri. Bukan setakat cuaca malahan pelbagai jenis penyakit yang pelik lagi aneh muncul. Seandainya bumi mampu mengeluarkan bunyi tersendiri pasti manusia yang jahil di muntah ke luar dari isi bumi.

Setiap yang bermula pasti berakhir. Setiap untaian perkataan yang di mulai dengan huruf-huruf tersusun sehingga membentuk ayat pujangga jua di akhiri dengan titik noktah. Hati yang ternoda jua akan mati tatkala panggilan maut menjengah diri. Allah selalu memerhati. Tapi manusia leka dari menyedari. Sehingga Allah melaknati baru kesedaran hadir di hati. Kesedaran yang mungkin untuk sedetik. Mungkin untuk selamanya.



Kejadian tanah runtuh di Hulu Langat


Manusia. 
Sikap tergesa-gesa itu adalah fitrahnya. Di serikan lagi dengan nafsu terburunya. Di persembahkan pula pada iblis peminat setia. Akhirnya jiwa kelam tiada sinarannya. 

Manusia,
Saat hasrat ingin di gapai, tangan di tadah setinggi langit. Tatkala Dia memberi, kaki berlari tanpa sujud untukNya lagi. Saat hati hilang punca, retak dalam langkahan yang lemah, hamparan sejadah menjadi pegangan, menitik menangis memohon belas dariNya. Tatkala Dia menghampiri dengan pancaran cahaya, bibir tersenyum ketawa tanpa zikir padaNya lagi. Jiwa mengharapkan pada syurga tetapi iman lemah tak bermata. Jiwa takut pada neraka tetapi berani melangkah api maksiat dunia. Ungkapan janji takut padaNya tetapi naluri tidak mengendahkan hukumNya.

Apakah perlu menanti Allah melaknati bumi baru kesedaran muncul kembali?

Wassalam.

Khairunnisa:
1. Semoga roh mereka-mereka yang terkorban sewaktu kejadian tanah runtuh di cucuri rahmat dan di tempatkan dikalangan para solih dan solihin. Al-Fatihah.
2. Berikanlah ketetapan iman untukku agar kelak Kau tersenyum saat rohku menemuiMu.

2 comments:

Hami Asraff said...

Sedih mendengar berita yang langsung tidak dijangka. MasyaAllah. Mereka kanak-kanak yang tiada dosa. Allah Maha Kaya. Allah sayangkan mereka. Al-fatihah.

niesa said...

Reply to Hami Asraff

Sayu dan sedih. Di satu sudut pandang yang lain, anak-anak ini bertuah menemui Illahi dalam keadaan yang suci. Kita? Tak pasti. Allah sangat sayangkan mereka. Al-Fatihah.

 

Terukir di bintang Template by Ipietoon Blogger Template | Gift Idea