Assalamualaikum wbt
'IKHLAS'
Wujud namun sukar untuk dilihat. Sejauh mana kita faham erti sebuah keikhlasan. Perkataan yang sangat mudah untuk diungkapkan. Namun penghayatannya?
Termenung diri ini seketika tatkala merenung 6 aksara ini. Lantas terlintas di fikiran apakah gerak-geri ini sentiasa di ikuti dengan sifat ikhlas? Ikhlas dalam melakukan pekerjaan. Ikhlas dalam menunaikan perintahNya. Ikhlas dalam mematuhi suruhan ibubapa. Ikhlas dalam apa jua yang mendatang. Ikhlaskah?
5 waktu kita diwajibkan untuk bersolat. Adakah di kala waktu-waktu itu kaki ini berdiri ikhlas menghadapNya? Terkadang dek kerana kepenatan, langkahan yang sangat malas berdiri mengangkat takbir. MemujiNya sekadar saja. Sujud dalam keadaan endah tak endah. Berdoa dengan doa yang tiada kesungguhan. Hanya kerana melayan kepenatan. Ya Allah, malunya rasa. Pastinya Engkau menanti rintihan hambaMu yang yang daif, kerdil lagi hina. Sombongnya diri ini. Di kala dunia di selubungi kegelapan, hati lebih lunak mendekatiMu, namun saat urusan di kesiangan seringkali hati lalai daripada mengingatiMu. Wajarkah itu berlaku? Mungkin kerana itulah, diri ini sering berkeluh-kesah. Mungkin juga diri ini dikurniakan musibah yang bertimpa-timpa hanya untuk menyedarkan hati bahawa 'Aku Perlu Ikhlas'.
Hati selalu memandang mudah pada perkara yang sebesar zarah. Apabila disajikan makanan yang kurang keenakkannya, terasa ringan lidah meludah. Apabila diberikan tugasan yang diluar daripada kewajipan, senyuman yang manis bertukar kelat. Tatkala seseorang yang tidak disukai mengukir senyuman, dengan mudah mata berpaling seperti tidak perasan. Akhirnya, yang timbul hanyalah keluh-kesah, rungutan dan sungutan. Membuktikan pada diri bahawa tiada langsung wujud erti keikhlasan.
Ikhlas, apabila 'itu' menghilang maka kualiti kerja yang dihasilkan juga kurang bermutu. Tiadanya keikhlasan adalah permulaan pada hilangnya kesabaran. Lantas apabila kesabaran semakin menunjukkan kenipisan maka iman yang cuba dipelihara turut merendah jua. Apa guna kita berdoa, solat namun hilang keikhlasannya, lesap kesabarannya dan salah amalan imannya. Di kala itu Allah menurunkan bala, musibah, kesusahan untuk jiwa yang lelah dengan sungutan dan rungutan. Bangkitlah dalam kesedaran agar keikhlasan terpancar bersama kesabaran.
Di kala hati dirundum kecewa, tangan digagah menadah terhadapNya. Dengan ikhlas dan kesungguhan bermunajat, bermohon kepadaNya. Dan saat Dia tidak memberi, hati berdengus menduga mengapa Allah tidak memakbuli doa dan hajat. Apakah saat itu sahaja baru ada erti ikhlas dalam bermunajat? Sesungguhnya Allah sangat-sangat mengerti apa sahaja yang ada di dalam lubuk hati hambaNya. Sangat mengerti. Lalu mengapa kita manusia khilaf dalam menilai semua ini?
Ikhlas adalah salah satu perkara yang amat remeh tapi sukar untuk dilaksanakan. Ramai yang mampu menyebutnya namun ia sekadar penyinggahan di bibir cuma. Tidak mampu untuk sampai terus tercucuk ke dalam hati. Seandainya kita ikhlas melakukan sesuatu perkara, pasti di pihak yang menerima keikhlasan itu turut sama merasai gelombangnya. Tanpa perlu ada walau sebutir kata bicara. Hanya senyuman dan ketenangan tertera.
Ikhlaskanlah hati ini dalam memulakan segala perkara. Ikhlaslah dalam menjalani ibadah agar ia menjadi sangat sempurna. Ikhlaslah dalam berbicara agar sengketa dapat termusnah kerananya. Ikhlaslah dalam menabur janji agar yang memegang amanah dapat menjaga janji itu dengan seadilnya. Ikhlaslah dalam menulis agar pembacanya dapat merasai bait-bait madah yang mampu merangsang jiwa. Ikhlaskanlah hati agar sabar dapat menapak dengan kukuh dalam diri. Berubahlah menjadi seorang yang ikhlas.
Khairunnisa:
1. Tersentak di suatu pagi. Menilai sejauh mana ikhlas wujud dalam diri.
2. Semoga diri ini mampu berubah seikhlas mungkin. Doakanku agar Allah sentiasa memberi petunjuk. Amin.
2 comments:
Sesungguhnya diri ini masih lemah dalam mencapai keikhlasan dalam setiap perbuatan,
Hingga kini masih sedang mencari dan terus mencari..
Terima kasih atas pandangan, sedikit sebanyak membantu diri ini..
;)
@ Azree
Menasihati diri sendiri jugak. Keep on looking.
Ikhlas ini perlu dipupuk barulah ia hadir. :)
Post a Comment