Saturday, May 21, 2011

Cintai Aku

coretan niesa at 9:43 AM




Gerimis.
Sudah menempiaskan kamar tidurku. "Aahh..terlupa nak tutup tingkap lagi", getusku. Termenung aku seketika memikirkan hal itu. Berita yang aku tak pasti adakah berbaur suka atau duka.

******
Langkahan perlu dipercepatkan. Awan mendung berarak dengan kelajuan yang sangat pantas. Sempatkah. Niat di hati ingin mencari persinggahan sebentar. Melepaskan hajat perutku yang dari tadi melaung-laung namun terpaksa dibiarkan sahaja. Aku harus segera pulang.


Kedengaran suara abi dan ummi. Suara mereka seperti sedang membicarakan sesuatu. Musykil aku sebentar. Jantungku jua secara tiba-tiba berdegup laju. Seakan ada yang tidak kena.


"Assalamualaikum", rutin harianku saat kaki terjejak ke perkarangan rumah. Abi dan ummi saling berpandangan seperti memberi isyarat. Memang conform ada yang tak kena.


"Waalaikumussalam. Anak ummi, Khaulah Azwar. Ke sini, nak".
Tersentap aku mendengar ummi menyebut nama penuhku. Aku hanya mampu tersenyum kelat. Terlihat pergerakan anak mata abi mengikut langkahanku ke arah ummi.


"Abi nak bertanya sesuatu. Di hati Wawa sudah ada yang di pujai?"


Zasss...Wajahku kemerahan. Selaju darah yang mengalir deras dalam tubuhku. Mataku merenung wajah abi. Sedalam-dalamnya ku cuba mencari sesuatu yang tersirat di sebalik kedutan wajahnya. Soalan abi. Soalan apakah ini. Termanggu aku sekali lagi.


"Biarlah ummi yang sambung. Abang ni drastik sangat. Terkejut budak ini", ummi penyelamat keadaan tapi hanya untuk sesaat.


Tangan lembut ummi laju terlekap di bahuku.


"Tadi ada seorang jejaka datang menghantar risikan untuk Wawa. Tengok atas meja itu di tinggalkan sebentuk cincin bersama gambarnya. Ummi dengan abi menanti kata putus dari Wawa. Kalau tiada yang menghalang, abi dan ummi ingin meneruskan ikatan. Wawa setuju?"


Ya. Jelas di hadapanku kotak kecil merah bersama sekeping kertas yang tidak aku ketahui warna dan lukisan yang tercoret di dalamnya. Aku memandang wajah abi dan ummi. Silih berganti. Tiada riak wajah atau madah bicara yang mampu aku susun. Tersentap. Terkejut. Bermimpikah aku?


******


Jam berdetik untuk kali ke-12. Menandakan sudah tepat jam 12 tengah malam. Aku memandang dari jauh kotak kecil itu. Hatiku membuncah. Lantas kakiku terus melangkah. Membasahi wajah dengan wuduk.


Di atas hamparan ini ku meminta padaNya.


"Ya Allah, ku bermohon agar di tunjukkan jalan yang benar. Aku buntu atas apa yang sedang hadir. Seandainya itu yang terbaik untukku maka damaikanlah jiwaku ini untuk menerimanya namun seandainya semua ini tidak seperti yang Engkau rencanakan maka jauhilah ia dariku. Perjelaskanlah segala kekaburan itu. Sesungguhnya Engkaulah Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang".


******


"Mama, papa mana?"
Pertanyaannya ku sahut dengan sebutir senyuman. Muhammad Naufal Mustaqim. Hampir mencecah ke usia 3  tahun. Bermakna sudah masuk tahun ke-4 diriku ini bergelar srikandi untuk seorang sang Adam yang telah di pilih olehNya untuk diriku. Alhamdulillah. Masa yang berlalu ku rasakan terlalu pantas. Namun, kerdipan mataku tidak indah sinarannya seperti hatiku.


Aku tahu dia tahu kekurangan itu. Bukan keinginanku untuk seperti itu namun Dia yang menjadi penentu. Seandainya dapat ku bisikan kerinduan ini untukmu.


Seperti biasa ku menanti kepulangan suamiku dengan sabar. Biarpun aku tahu kelibatnya tetap tidak terlihat. Ya, kebosanan sudah menjengah kotak pemikirannya. Dirinya bukan lagi seperti yang aku kenali dahulu. Suamiku, seorang yang sangat penyayang, prihatin dan suka berjenaka. Hampir setiap saat dirinya mampu buat aku tertawa. Kini, hilai tawa itu seakan-akan hilang. Yang menyebabkan aku rindu pada saat itu. Aku tahu mungkin aku jua puncanya.


Air mataku tertitis lagi. Hanya ia peneman setia saat hiba hadir menjelma. Bukan aku ingin menjadi seperti ini. Membiarkan keadaan mendominasi diri.


"Wawa, buat apa dalam gelap ini?"
Tangkas tanganku mengelap titisan air mata itu. Moga dirinya tidak perasan. Aku tersenyum menghampiri suamiku. Ku hulurkan tanganku seperti kebiasaannya.


"Dah, pergi buat air. Kalau dekat dengan awak selalu je bau ubat. Nak muntah saya".


Abang....
Hatiku pedih. Panahan kata-katanya menusuk jiwaku. Tanpa berkata apa, aku melajukan langkahanku ke dapur.  Sambil menyiapkan air yang di pinta, air mataku menitis tanpa henti. Apakah perlu di keji sebegitu. Apakah perlu berbahasa sedemikian rupa?


"Ya Allah, sabarkanlah hati hambamu ini. Ku tahu hanya Engkau yang mengetahui. Kerana segalanya hadir dari kehendakMu. Lembutkanlah hati suamiku. Kuatkanlah hatiku."


Aku menggagahkan diri menuju ke kamar. Tidak kelihat bayangan suamiku. Cuba ku cari di segenap penjuru bilikku, tiada. Mataku meliar melihat sekeliling rumah namun tiada. Di mana dia?


Tiba-tiba.
Silauan cahaya bersama deruman kereta kedengaran. Keluar..Tanpa sepatah kata?. Aku termanggu. Siapa aku di hatinya kini. Air yang di pinta tadi ku biarkan kedinginan di atas meja.


"Mama, papa dah balik ke?"
Naufal. Lantas berlalu aku kepadanya. Saat aku terkulai hanya dialah penguat untuk ku bersandar.


******


Saat itu pasti tiba. Aku tahu. Berat hatiku untuk melepaskan namun tiada dayaku untuk mengubah segalanya. Di keheningan malam, aku gagahi kudrat yang ada. Sekeping kertas di hadapan ku tatap erat. Merenung bait-bait madah yang ingin aku lakarkan.


Wahai suamiku tersayang,
Dengarlah bisikan naluri ini,
Yang mana belum mampu untuk terluah,
Bersama suara dan bibir bicara.

Pendampingku,
Ingatkah lagi dirimu,
Tika itu,
Di dalam rumah Allah janji termeterai.
"Aku terima nikahnya, Khaulah Azwar binti Amir Asyraf"
Getaran suara itu, kalimah itu,
Masih lagi terngiang-ngiang di benakku.
Apakah dirimu jua sepertiku?

Kekandaku,
Pernah dirimu bertanya,
Mengapa diri ini sukar untuk berbicara.
Pernah bibirmu berkata,
Mengapa aku hanya tersenyum tanpa membalas, membidas kata-kata.
Pernah matamu mengungkap,
Mengapa diriku seakan-akan kayu di dalam mahligai agam yang kau bina.
Pernah dirimu mengherdik,
Dengan lantang mengatakan diriku seakan-akan manusia yang hilang nyawa.
Bermata, berkaki, bertangan,
Tapi bisu tiada kata.

Ketahuilah sayangku,
Seandainya hatimu mengerti,
Pasti tingkahmu tidak seperti itu.
Ya, benar..
Telah ku sembunyikan sesuatu.
Sesuatu yang sukar untuk diriku sendiri menerimanya.

Hampir 10 tahun ia tumbuh bernanah,
Memakan sedikit demi sedikit,
Sehinggakan ia bertambah parah,
Kesakitan yang tidak mampu lagi untuk ku tanggung.
Itulah tumor yang tumbuh di tekak ku.
Sehingga mengoyakkan peti suara ini.

Abang,
Hati ini sangat ingin berjenaka,
Membalas setiap madah bicara,
Namun suaraku hanya mampu tertanam di jiwa,
Dan hanya senyuman yang dapat ku beri,
Tanda diri ini suka, sayang dan cinta pada setiap butir bicara.

Wahai suamiku,
Terima kasih atas segala pengorbanan dan kesabaranmu
Dalam menerima diriku yang tidak pernah sempurna,
Ketahuilah bahawa hati ini sangat merinduimu,
Menghargaimu tiap saat dan ketika.
Seandainya benar hayatku kan tiba,
Ampunilah diriku yang tidak mampu melakar senyuman nan indah,
Pada sebuah kehidupan yang dirimu impikan.
Maafkan isterimu yang sering bermadah tanpa suara.


******
Terasa kepanasan di tanganku seolah-olah ada sesuatu. Perlahan-lahan ku lihat cahaya. Mata ini berkedip dan memerhati. 


"Wawa, abang ini. Wawa, maafkan abang. Abang tak tahu, Jangan tinggalkan, abang. Izinkan abang tebus balik kesilapan. Kuatkan semangat, sayang."


Aku hanya mampu tersenyum. Terharu melihat suamiku erat di sisi.
"Ya Allah, akhirnya Kau perkenankan doaku. Terima Kasih, Ya Rabb pada kasih yang aku peroleh walau untuk sejenak"


Hanya air mata mengiringi kata-kata. Satu per satu wajah ku tatap. Abi, ummi, Naufal juga ada. Aku tak mampu lagi untuk bergerak. Hanya bunyian corong pernafasan yang kuat kedengaran. Ingin sekali aku berkata tapi mana mungkin. Seruan seakan-akan memanggil.


"Abi, ummi. Maafkan Wawa" 


"Abang, jangan di renungi apa yang telah terjadi. Ketahuilah sesungguhnya kasih yang di berikan olehNya hanya untukmu. Tanggungjawabmu masih ada. Naufal. Itulah tanda kasih Wawa untuk abang".


Mataku terus terpejam. Gelap dan suram. 
Selamat tinggal semuanya.


******


Nukilan picisan.

4 comments:

Unknown said...

Ingatkan cerita betul mengenai penulis ni,

Bukan rupanya..

Apapun, best dan sedap ayat-ayatnya untuk dibaca dan dirasai..

;)

Unknown said...

Tulisan yang mantap..mohon share

niesa said...

In reply to Azree:

Cerita penulis tak menarik.
Thanks sebab membaca. Nukilan yang banyak kesilapan. :)

niesa said...

In reply to alfaqir asri:

Silakan.
Tapi banyak lagi kesilapan dan kelemahan.

 

Terukir di bintang Template by Ipietoon Blogger Template | Gift Idea