Tanggal 16 Mei,
Merupakan satu tarikh yang amat bermakna bagi seorang insan yang bergelar GURU. Saat tibanya tarikh ini pasti banyak persiapan dilakukan bagi meraikan guru yang merupakan insan yang banyak berbakti pada masyarakat. Sikapnya, sabarnya, percakapannya banyak mempengaruhi sekeping hati bernama pelajar.
Guru,
Jasamu tiada galang gantinya. Kegigihanmu dalam mendidik tak kan mampu dibeli dengan wang berjuta. Keikhlasanmu dalam menyampaikan ilmu tidak mampu untuk dihitung. Itulah pengorbanan seorang guru. Sanggup membakar diri sendiri agar dapat menjadi cahaya kepada kegelapan buat sang manusia yang dambakan sinaran dan pengharapan.
Guru,
Segala jerit-perihmu terpancar saat kau meninggikan suaramu. Memarahi atas tujuan membetulkan diri. Keringat di wajahmu tumpah membasahi tubuh hanya untuk menerangkan apa yang tidak difahami. Walaupun berulang kali mengucapi perkataan yang sama erti namun kau tidak kenal apa itu jemu dan bosan. Sinar matamu membisikkan sesuatu saat dirimu memerhati dengan jelingan yang tajam. Di sertai dengan rotan di tangan lalu di hayunkan ke belakang tubuh anak yang belum mengenal erti matang. Biratan yang menjadi kesan itulah penyebab kepada terbentuknya insan yang bertamadun lagi berwawasan.
Kini,
Hasil didikan guru-guruku maka lahirlah aku. Generasi penyambung gerbang ilmu. Saat bahu digalas dengan title 'guru', baru aku tahu betapa tingginya langit itu. Zaman millenium, wajah dan minda anak-anak jua semakin millenium. Cabaran dan dugaan yang amat-amat besar terpaksa aku hadapi dalam berhadapan dengan lautan gejala kemaksiatan yang membenamkan dunia anak bangsa kini. Merudum dan tersungkur sehingga agama dipijak dan di kubur. Mereka bukan lagi nakal tetapi mengenal dunia 'kejahatan'. Telah beberapa kali jualah titisan air mataku menitis kerana terguris dengan sikap anak remaja kini. Namun Allah mengerti. Maka dari pengalaman itu aku semakin tabah dan kuat untuk bangun membentuk anak bangsaku.
Jika dahulu rotan menjadi pembimbing jalan, sekarang psikologi dan kasih sayang memainkan peranan. Jika dahulu jelingan tajam dapat mengerunkan hati anak yang nakal, sekarang senyuman dan perlian menjadi bahan ransangan. Jika dahulu denda berdiri di tengah panas sebagai hukuman, sekarang perdebatan muncul menguji siapa yang terhebat. Inilah perubahan yang aku harus hadapi. Meniti kehidupan sebagai guru yang berjuang hanya untuk masa depan generasi kini.
Wahai sahabatku yang bergelar guru,
Janganlah kita mengeluh pada kesusahan yang dihadapi kerana ku jua merasai keperitan ini. Ikhlaskanlah hati kerana segala kejayaan dini hari bermula dari suara seorang guru. Hari ini kita menangis kerana letih menjadi mata pada jalan yang diingini tetapi kelak kita pasti gembira bila mereka berjaya menjadi insan yang berketrampilan. Jadilah kita sebagai pendidik yang sanggup meredah kekebalan dan kejahilan dunia, bukan sebagai guru yang duduk menghadap gaji buta.
Guru,
Darimu aku mengenal ABC,
Dari suaramu aku mengenal 123,
Dari bicaramu aku mengenal alif, ba, ta,
Dari didikanmu aku bertatih menghadap dunia,
Dari ajaranmu jualah akhirnya aku bergelar seorang guru.
Selamat Hari Guru buat semua warga pendidik.
Khairunnisa: Semoga didikanku dapat melahirkan insan yang berkualiti pada agama, bangsa dan negara.
2 comments:
selamat hari guru . semoga menjadi seorang guru yg menjadi kebanggaan anak bangsa .
In reply to SHM
Thanks. InsyaAllah.
Post a Comment